BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, bertemu dengan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, di Wisma Tamu Negara, di sini, pada Isnin.

Xi berkata Duterte yang mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap rakyat dan sejarah ketika menjadi Presiden Filipina dan telah membuat pilihan strategik untuk memperbaiki hubungan dengan China supaya kembali ke landasan dan terus berkembang dengan baik.

Beliau turut menyifatkan ia satu sumbangan penting terhadap hubungan persahabatan kedua-dua negara.

Menurut Xi, China dan Filipina adalah negara membangun di Asia dan pembangunan kedua-dua negara adalah berasaskan suasana persekitaran yang berjiran baik, serta keluarga Asia yang bekerjasama dan mewujudkan situasi sama menang untuk semua.

"China sentiasa mengekalkan dasar berjiran baik dan berkawan dengan negara jiran berpandukan konsep diplomatik yang diamalkan iaitu mesra, ikhlas, berkongsi dan inklusif," jelas beliau.

Xi turut menekankan bahawa China konsisten mementingkan hubungan dengan Filipina dan bersedia bersinergi bersama-sama untuk menggerakkan hubungan bilateral terus berkembang.

"Saya harap Duterte dapat terus memainkan peranan penting demi persahabatan dan kerjasama kedua-dua pihak," katanya.

Duterte dalam ucapannya pula menyatakan bahawa hubungan persahabatan Filipina-China selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara dan merupakan hasrat kebanyakan rakyat Filipina.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk terus menyumbang kepada persahabatan kedua-dua negara.

-- BERNAMA